Wanita yang sukar hamil kebiasaannya tercari-cari punca sebenar mereka masih belum dikurniakan zuriat. Kadang-kadang buntu dibuatnya lebih-lebih lagi apabila sudah pun membuat pemeriksaan di klinik kesuburan dah disahkan subur, tetapi tidak juga berpeluang hamil. Maka. mulalah timbul andaian-andaian lain. Sebagai contoh masalah peranakan jatuh. Benarkah peranakan jatuh menyebabkan wanita sukar hamil?
Semasa saya buat bacaan mengenai peranakan jatuh, rasa ngilu sangat melihat gambar yang ditunjukkan. Itu kali pertama saya melihat gambar peranakan jatuh tahap ketiga. Nanti saya kongsikan gambarnya.
Selepas setiap kali melahirkan, bidan yang dipanggil sering bertanya ‘ dah naikkan peranakan?’. Ya, itulah antara fungsi memanggil mak bidan datang mengurut selepas melahirkan selain membantu membuang angin yang masuk, melancarkan perdaran darah dan susu badan. Saya juga tak terlepas ditanya begitu. Apabila dijawab ‘belum’, lalu mak bidan akan mengurut satu badan dan diakhiri dengan mengangkat peranakan ke tempat asalnya. Kadang-kadang siap ada bunyi ‘lkuk’ bila tulang bertemu tulang. Sakitnya jangan cakaplah. Boleh menitis air mata. Tapi selepas dinaikkan, badan rasa lebih ringan dan makin sihat.
Peranakan jatuh juga dikenali sebagai prolaps rahim. Peranakan atau rahim merupakan tempat janin membesar di mana ia terletak di dalam pelvis dan disokong oleh otot dan ligamen. Terdapat 3 peringkat masalah pernakan jatuh iaitu:
- Peringkat 1 : hanya jatuh sedikit dari tempat asal. Tiada sebarang simptom dirasakan dan kebiasannya diketahui apabila melakukan pemeriksaan bagi tujuan lain. Sebagai contoh ujian pap smear
- Peringkat 2 : pintu rahim jatuh sehingga ke permukaan faraj
- Peringkat ke tiga : keseluruhan rahim terkeluar dari saluran vagina. Ianya seakan-akan seketul bentuk daging terkeluar yang dapat dilihat dengan sekiranya duduk mencangkung.
**Pada asalnya saya ingin memasukkan gambar manusia sebenar peranakan jatuh peringkat ke 3. Tapi saya sendiri pun tidak sanggup untuk melihatnya. Jadi, anda mungkin boleh google sendiri imej peranakan jatuh.
Simptom Peranakan Jatuh
Tiada simptom yang jelas dapat dirasakan kepada wanita yang mempunyai masalah rahim jatuh kerana di peringkat awal, ianya tidak memberi kesan sakit dan ketidakselesaan. Namun jika anda alami beberapa masalah di bawah ini, mungkin anda perlu ke hospital untuk membuat pemeriksaan.
- kerap kencing
- sukar memulakan kencing
- tidak dapat mengawal kencing ketika batuk, bersin. ketawa, ketika solat
- sembelit
- rasa tidak puas membuang air besar, terpaksa memasukkan jari untuk keluarkan najis
- ada benda berat di celah alat sulit
Punca Peranakan Jatuh
Kebanyakannya menimpa wanita yang pernah melahirkan anak. Selain itu, wanita di zaman dahulu kerap mengalami masalah ini kerana bersalin di rumah tanpa membuat jahitan menutup vagina yang telah terkoyak.
Selain itu, peranakan jatuh juga mudah menyerang
- wanita yang mengalami obesiti
- sembelit teruk
- pernah menjalani pembedahan sekitar kawasan rahim seperti pelvis, pundi kencing dan saraf tunjang
- menopous
- ketumbuhan fibroid
- mengangkat benda berat
- terlalu lama berdiri setiap hari
Pencegahan
- kawal berat badan anda
- amalkan senaman kagel
- amalkan pemakanan sayur-sayuran, bijirin dan buah-buahan agar tidak mengalami masalah sembelit
- hindari rokok dan asap rokok
- elakkan kehamilan yang terlalu rapat
Bidan kampung juga sering memberi nasihat supaya kita menjaga rahim kita sebaik-baiknya. Menurut mereka, peranakan yang jatuh punca sukar hamil. Jika ditakdirkan hamil, rahim menjadi tidak kuat dan kemungkinan mengalami risiko keguguran. Sejauh mana kebenarannya, mungkin anda perlu berbincang dengan doktor anda sekiranya rahim anda disahkan jatuh.