gambar hiasan
TAHUN ini genap lima tahun usia perkahwinan Mimie (bukan nama sebenar), 27, dengan suami tercinta Fauzi (bukan nama sebenar), 50.
Walaupun jarak umur mereka hampir 23 tahun berbeza, perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu terus utuh, apatah lagi dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki berusia empat tahun yang menjadi pelengkap kebahagiaan rumah tangga tersebut.
Ditambah lagi dengan penerimaan baik kedua-dua anak Fauzi yang berusia 16 dan 14 tahun hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya terdahulu.
Kedua-duanya memang menerima keputusan Fauzi berkahwin dengan Mimie, malah tumpang bahagia apabila melihat bapa mereka gembira dengan kehidupan baharu itu.
Namun dalam meniti kebahagiaan tersebut, masih tersisa rasa terkilan di hati Mimie apabila sehingga kini keluarganya terutama ibunya masih belum merestui perkahwinannya dengan Fauzi.
Sampai saat ini Mimie, yang merupakan anak perempuan tunggal daripada tiga beradik, tidak pernah putus berdoa agar ibunya dapat menerima Fauzi sekali gus menerima anaknya yang masih belum kenal neneknya hingga ke hari ini.
Bercerita lanjut kisah perkenalan dengan Fauzi sehingga mengikat mereka hingga ke jenjang pelamin, Mimie akui cintanya pada lelaki tersebut tidak pernah berkurang dengan jarak umur antara mereka berdua, malah beliau bersyukur mempunyai suami sebaik Fauzi.
"Kami berdua berkenalan ketika sama-sama bekerja di bawah satu bumbung di sebuah syarikat pembinaan. Jawatan saya hanya sebagai kerani am, sementara Fauzi adalah penyelia di bahagian kontraktor pembinaan.
"Rasa hormat dan persahabatan yang terjalin antara kami berdua ketika itu hanya berlandaskan sebagai rakan sepejabat sahaja. Tidak pernah muncul perasaan cinta antara kami berdua. Tambahan pula umurnya sebaya dengan ibu saya menjadikan saya lebih menghormatinya," katanya.
Dalam masa yang sama jika ada sebarang kesulitan dan masalah membabitkan hal kerja, Mimie seringkali memohon bantuan dari Fauzi apatah lagi jarak rumah antara mereka berdua agak dekat dan sehala.
"Pernah beberapa kali kereta saya rosak ketika hendak pulang dari tempat kerja, Fauzi menumpangkan saya sehingga sampai ke rumah.
"Bukan itu sahaja, kadang-kadang jika ada masalah dengan rakan-rakan sepejabat saya akan mengadu dengannya.
"Sikapnya yang penyayang, mengambil berat dan memahami jiwa saya menyebabkan lama-kelamaan rasa hormat sebagai rakan sekerja bertukar kepada benih-benih cinta antara kami berdua.
"Saya beruntung kerana tidak bertepuk sebelah tangan, malah Fauzi juga ada menyimpan perasaan yang sama," katanya.
Biarpun menyedari Fauzi jauh lebih berusia dan berstatus duda anak dua selepas kematian isterinya 15 tahun lalu, Mimie tidak berasa malu atau risau.
"Hubungan kami berdua berjalan lancar. Anak-anaknya juga menerima kehadiran saya, malah hubungan saya dengan mereka sangat rapat.
"Jika ada masa kelapangan, kami akan menghabiskan masa cuti bersama, keluar membeli belah dan berkelah," katanya.
Setelah hampir setahun mengenali hati budi dan menyulam perasaan cinta, akhirnya Fauzi terbuka hati untuk menyunting Mimie sebagai ratu hatinya setelah lama menduda.
"Suntingan tersebut disambut dengan perasaan terharu dan bahagia apatah lagi dilamar oleh insan yang amat kita sayangi.
"Berita gembira tersebut disampaikan kepada keluarga. Malangnya, penerimaan mereka tidak seperti yang disangka. Apabila mengetahui pilihan saya adalah duda yang berumur dan mempunyai dua anak, emak dan adik beradik lain menentang keras.
"Ibu bukan saja tidak mengizinkan saya berkahwin, bahkan percaya saya telah 'dibomoh' oleh Fauzi.
"Tuduhan tersebut sangat menyeksa jiwa. Ternyata ibu tidak dapat menerima Fauzi sebagai menantu kerana umur mereka hampir sebaya dan tidak yakin saya akan hidup bahagia bersama lelaki tersebut.
"Namun, saya bernasib baik kerana bapa tidak menentang malah memberi saya ruang untuk membuat pilihan terbaik.
"Dalam masa yang sama saya juga memahami perasaan ibu ketika itu, tetapi kerana cinta dan sayang yang mendalam kepada Fauzi saya teruskan juga.
"Disebabkan tidak dapat restu ibu, majlis perkahwinan saya berlangsung secara sederhana, tidak ada persandingan sekadar akad nikah di masjid.
"Ibu langsung tidak hadir, bahkan ketika majlis kenduri di rumah dia lebih rela mengurung diri dalam bilik daripada menyambut saudara-mara yang datang.
"Kalau diikutkan memang sedih, tapi saya juga faham hati ibu terluka kerana saya tidak mendengar katanya," kata Mimie.
Sehingga kini, hubungan Mimie dengan ibu masih renggang dan belum pulih walaupun sudah pelbagai cara dilakukan oleh Mimie dan Fauzi untuk mengambil hatinya.
"Saya hanya mampu berdoa agar rumah tangga yang di bina kekal bahagia hingga akhir hayat. Semoga ibu terbuka hati untuk memaafkan saya dan menerima suami dalam keluarga," katanya.